DALIL – DALIL PENGURUSAN MASA
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
(2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا
الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ
وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3).
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam
kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula
berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu
wa Ta'ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian
kecuali mereka yang melakukan empat perkara:
1.
Beriman, iaitu memiliki
aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan
oleh-Nya.
2.
Melaksanakan amal shalih.
Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang
shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibubapa, menghubungkan
silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.
3.
Berpesan-pesan kepada
kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang
apa yang benar dan apa yang salah.
4.
Berpesan-pesan kepada
kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi
musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu
wa Ta'ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian
kecuali mereka yang melakukan empat perkara:
1.
Beriman, iaitu memiliki
aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan
oleh-Nya.
2.
Melaksanakan amal shalih.
Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang
shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibubapa, menghubungkan
silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.
3.
Berpesan-pesan kepada
kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang
apa yang benar dan apa yang salah.
4.
Berpesan-pesan kepada
kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi
musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.
Saya
yakin para pembaca sekalian telah menghafal dan mengetahui maksud tiga ayat
al-Qur’an di atas sejak dari kecil. Akan tetapi timbul satu cabaran hebat:
Masa! Tidak cukup masa untuk melaksanakan keempat-empat tuntutan dalam ayat
tersebut. Mengapakah Allah Subhanahu wa Ta'ala bersumpah
dengan masa padahal tuntutan-tuntutan yang disebut-Nya selepas sumpahan
tersebut amat sukar dicapai kerana keterbatasan masa?
Sebenarnya
apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengaitkannya dengan masa,
bererti masa merupakan faktor utama dalam menentukan sama ada keempat-empat
tuntutan tersebut berjaya kita capai atau tidak. Dalam erti kata lain, sesiapa
yang memiliki pengurusan masa yang efisyen akan mampu mencapai
tuntutan-tuntutan tersebut sehingga akhirnya menjadi orang yang beruntung.
Sebaliknya sesiapa yang tidak memiliki pengurusan masa yang efisyen, dia akan
gagal sehingga akhirnya menjadi orang yang rugi.
Langkah
# 1: Menyedari Bahawa Masa Adalah Tetap.
Berhenti sekejap dan lihat kepada jam anda.
Sama ada jam tangan, jam talifon bimbit atau jam di dinding. Sama ada jam yang
menggunakan jarum atau angka digital. Terdapat pelbagai jenis jam dan pelbagai
jenis reka bentuk, dengan kepelbagaian yang tidak mampu kita hitung. Akan
tetapi dalam kepelbagaian tersebut, terdapat sesuatu yang sama, sesuatu yang
tetap. Iaitu, 60 saat = 1 minit, 60 minit = 1 jam dan 24 jam = 1 hari.
Formula di atas tidak dapat diubah atau
diperlahankan. Kita tidak boleh mengubah agar dalam satu hari ada 30 jam. Kita
tidak boleh memperlahankan agar 100 saat menjadi satu minit. Ringkasnya, masa
adalah sesuatu yang tetap. Lalu bagaimanakah kita hendak melebihkan masa supaya
dapat mencapai keempat-empat tuntutan dari surah al-‘Ashr?
Jawapannya, kita tidak boleh melebihkan masa
kerana ia adalah tetap. Sebaliknya kita boleh ubah perkara-perkara yang kita
lakukan kerana ia tidak tetap. Salah satu sebab utama orang menghadapi masalah
keterbatasan masa ialah kerana mereka melakukan terlalu banyak perkara. Sikap
inilah yang perlu diubah, dari melakukan banyak perkara kepada
melakukan hanya beberapa perkara.
Sebagai contoh, seorang pelajar pusat
pengajian tinggi mungkin melakukan perkara-perkara berikut sehingga menghadapi
keterbatasan masa:
1.
Belajar jurusan yang
diambil.
2.
Menyertai sesi
latihan Kick Boxing setiap petang, dua kali seminggu.
3.
Menyertai kelab bahasa
Inggeris.
4.
Menyertai pasukan
sukarelawan menziarahi rumah orang kurang upaya setiap hari Ahad.
5.
Ahli panel rekabentuk
grafik untuk risalah bulanan fakulti yang diterbitkan setiap bulan.
6.
Bermain untuk pasukan
badminton asrama.
7.
Menghadiri kuliah-kuliah agama
yang dianjurkan oleh masjid di kampus setiap hari.
8.
Menganjurkan usrah untuk
pelajar-pelajar yang baru masuk ke kampus setiap malam Jumaat.
9.
Menjadi wakil penjual kad
tambah nilai talifon bimbit untuk syarikat 015-xxx xxxx.
Perkara-perkara di atas hendaklah diubah dan
dikurangkan, umpama:
1.
Memberi tumpuan menuntut
ilmu agama.
2.
Memberi tumpuan kepada
jurusan yang diambil.
3.
Memberi perhatian kepada
hal-ehwal ibubapa di kampung.
4.
Menyertai hanya satu
aktiviti sukarelawan di kampus.
Kenyataan saya di atas mungkin memeranjatkan.
Bukankah lagi banyak yang dilakukan, lebih baik dan berjaya seseorang itu? Saya
berkata, kenyataan tersebut sekali pun masyhur, perlu dipertimbangkan semula.
Banyak tidak semestinya berjaya, sedikit tidak semestinya gagal.
Ingat! Masa adalah tetap. Melakukan banyak perkara
dalam masa yang tetap menyebabkan perkara-perkara yang dilakukan tidak mencapai
kualiti yang terbaik. Malah adakalanya cukup syarat sahaja. Semua ini akhirnya
melahirkan perasaan tidak puas hati, kekecewaan dan kehilangan motivasi.
Sebaliknya melakukan beberapa perkara dalam masa yang tetap
menyebabkan perkara-perkara yang dilakukan mencapai kualiti yang baik. Ini
akhirnya melahirkan perasaan kesyukuran, puas hati dan motivasi untuk melakukan
yang lebih baik pada masa akan datang.
Formula masa adalah tetap, iaitu
60 saat = 1 minit, 60 minit = 1 jam dan 24
jam = 1 hari.
Kita tidak boleh mengubah masa tetapi boleh
mengubah perkara yang dilakukan dalam masa tersebut.
|
Langkah # 2: Fokus Dan Prioriti, Bukan Rambang
Dan Suka Hati.
Sebab kedua yang menyebabkan keterbatasan
masa adalah sikap melakukan perkara-perkara secara rambang dan suka hati, tidak
secara fokus dan berprioriti. Ditegaskan bahawa individu muslim yang berjaya
bukanlah seorang yang melakukan banyak perkara, tetapi adalah seorang yang
melakukan beberapa perkara dan dia melakukannya secara fokus dan
berprioriti.
Fokus maksudnya memberi tumpuan kepada
sesuatu perkara secara mendalam sehingga menguasainya secara luas. Prioriti
maksudnya menimbang sesuatu perkara, sama ada patut didahulukan atau
dikemudiankan, sama ada patut dipertamakan atau diletakkan di tangga kedua,
ketiga dan seterusnya.
Sebagai contoh, menuntut ilmu agama hendaklah
difokuskan kepada aqidah kerana aqidah yang sahih lagi kukuh menjamin kejayaan
seorang muslim di dunia dan akhirat. Menuntut ilmu agama hendaklah diberi
prioriti kerana seseorang yang memahami Islam secara benar akan menjadi
individu yang berjaya, bukan sahaja dari sudut agama tetapi juga dari sudut
pembelajaran, kerjaya dan motivasi diri.
Memberi fokus dan prioriti kerana ilmu agama
tidak bererti mengabaikan ilmu duniawi. Seorang muslim yang memiliki aqidah
yang sahih lagi kukuh serta kefahaman Islam yang benar akan mengetahui bahawa
Islam amat menuntut agar dia menjadi seorang yang profesional dalam urusan
duniawi. Dia mengetahui firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
وَقُلْ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ
وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ
وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ.
Dan katakanlah: “Beramallah kamu, maka Allah
dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu
amalkan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui
perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia (Allah) akan
menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah amalkan.” [al-Taubah 9:105]
Dia mengetahui sabda Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam:
إِنَّ اللهَ تَعَالَى يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ
أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ.
Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi
jika seseorang itu beramal, dia beramal dengan cemerlang.[2]
Firman Allah yang bermaksud “Beramallah
kamu…” adalah fi‘il amr yang berupa satu
perintah. Ini menunjukkan kewajipan untuk kita beramal. Sementara perkataan
“amal” bukanlah terhad kepada solat, puasa dan zikir tetapi meliputi semua
aktiviti yang selari dengan Islam termasuk menuntut ilmu duniawi dan berkerja
dalam jurusan duniawi. Sesiapa yang berpendapat perkataan amal hanyalah solat,
puasa dan zikir, bererti dia masih berpegang kepada kefahaman sekularisme yang
memisahkan antara agama dan dunia.
Menyentuh tentang sekularisme, fahaman ini
telah banyak mempengaruhi umat Islam pada masa kini. Di satu sudut kita akan
temui orang yang hanya memberi tumpuan kepada agama hingga mengabaikan dunia.
Di sudut yang lain kita temui pula orang yang hanya memberi tumpuan kepada
dunia sehingga mengabaikan agama. Amat sedikit untuk ditemui orang yang memberi
tumpuan kepada agama dan dunia sehingga mencapai kecemerlangan dalam
kedua-duanya.
Seterusnya amal tersebut kita lakukan sebaik
mungkin, sesempurna mungkin. Ini kerana dari sudut aqidah, kita mengetahui
bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam melihat apa yang kita lakukan. Seolah-olah, Allah dan
Rasulullah hadir mengawasi apa yang sedang kita lakukan. Kemudian di Hari
Akhirat kelak …(Allah) akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu
telah amalkan.” Sudah tentu semua ini akan menyebabkan kita malu
untuk melakukannya secara enteng atau sekadar melepaskan batuk di tangga.
Sebaliknya kita akan melakukannya sesempurna mungkin kerana: “Sesungguhnya
Allah Ta’alamengasihi jika seseorang itu beramal, dia beramal
dengan cemerlang.”
Oleh itu, langkah kedua dalam mengurus masa
ialah memberi fokus dan prioriti dalam beberapa perkara yang dilakukan sehingga
setiap detikan saat memiliki nilai dan manfaat. Keberadaan masa yang sentiasa
tetap menyebabkan kita tidak mampu untuk mensia-siakannya dengan sikap yang
rambang dan suka hati.
Individu muslim yang
berjaya bukanlah seorang yang melakukan banyak perkara, tetapi adalah seorang
yang melakukan beberapa perkara dan dia melakukannya secara fokus dan
berprioriti.
|
Langkah # 3: Menyedari Bahawa Masa Tidak
Menunggu Sesiapa.
Sekali lagi saya ingin meminta para pembaca
merenung kepada jam. Perhatikan bahawa ia sentiasa bergerak. Jika ia terhenti
kerana kehabisan bateri atau kerana anda menghentikannya, jam-jam yang lain
tetap bergerak. Semua ini mengarah kepada satu kesedaran yang amat penting,
iaitu masa tidak menunggu sesiapa.
Saya yakin semua orang tahu akan hakikat ini.
Akan tetapi kadangkala kita melakukan perkara-perkara yang memberi gambaran
seolah-olah masa menunggu kita. Seolah-olah masa berhenti sementara bagi
membolehkan kita melakukan perkara-perkara tersebut. Apakah perkara-perkara
yang saya maksudkan itu? Berikut saya kemukakan beberapa contoh:
1.
Menyambung tidur selepas
solat Subuh pada hari cuti. Jika hari Isnin hingga Jumaat bangun pukul 5.45
pagi, solat Subuh berjamaah dan terus ke kuliah atau pejabat, maka pada hari
cuti bangun dilewatkan hingga pukul 8 atau 9 pagi. Ada juga yang melanjutkannya
hingga siang hari.
2.
Meluangkan masa antara 1
hingga 2 jam membaca surat khabar.
3.
Menonton orang lain
bersukan, seperti menonton perlawanan bola sepak, futsal, hoki, tenis dan
sebagainya.
4.
Beriktikaf di hadapan kaca
TV, purata antara 1 hingga 3 jam setiap hari.
5.
Keluar makan bersama
rakan-rakan dengan tempoh yang lama, purata antara 1 hingga 2 jam.
Contoh-contoh di atas adalah segelintir dari
sekian banyak perkara yang kita lakukan yang sebenarnya merupakan satu
kesia-siaan masa. Istilah seerti baginya ialah pembaziran masa dan pembaziran,
sama ada melibatkan masa, wang, kesihatan, pemikiran dan perbuatan, adalah
suatu tindakan yang tidak sepatutnya menjadi ciri-ciri seorang muslim. Ini
kerana:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ
الشَّيَاطِينِ.
Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu
adalah saudara-saudara syaitan. [al-Isra’
17:27]
Di sini saya tidak bermaksud untuk menyuruh
para pembaca sekalian mengabaikan perkara-perkara di atas. Jika anda ingin
tidur lebih untuk merehatkan minda dan tubuh pada hari cuti, lakukanlah ia pada
waktu siang dan bukan pada waktu pagi. Waktu pagi adalah saat yang penuh
keberkatan untuk kita lakukan aktiviti yang bermanfaat. Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam pernah berdoa:
اللَّهُمَّ
بَارِكْ لأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا.
Ya Allah! Berkatilah umat aku pada pagi hari.[3]
Ada pun waktu siang, maka Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam berpesan:
قِيْلُوْا،
فَإِنَّ الشَّيَاطِيْنَ لاَ تَقِيْلُ.
Tidurlah (sebentar) pada siang hari kerana
sesungguhnya syaitan-syaitan tidak tidur pada siang hari.[4]
Merujuk kepada surat khabar, anda sudah
mendapat berita dengan hanya membaca beberapa perenggan pertama bagi setiap
laporan. Kemudian jika anda membacanya dengan manhaj fokus dan prioriti, 80%
dari laporan yang dikemukakan boleh diabaikan. Semua ini membolehkan anda
khatam membaca surat khabar dalam masa 15 minit sahaja.
Ada pun sukan, maka Islam menganjurkan kita
untuk bersukan demi kekuatan dan kesihatan. Berkenaan kekuatan,
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى
اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ.
Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan
dicintai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah.[5]
Ada
pun kesihatan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazim
berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي
الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ
فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي.
Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau kesihatan
yang baik di dunia dan akhirat. Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau keampunan
dan kesihatan yang baik dalam urusan agamaku, duniaku, ahli keluargaku dan
hartaku.[6]
Walaubagaimana
pun bezakan bahawa Islam menganjurkan kita bersukan dan bukan menonton orang
lain bersukan. Saya sebenarnya amat hairan memerhatikan gelagat orang yang
menonton orang lain bersukan. Bukan sekadar menonton, mereka menyokong pasukan
yang ditonton dengan penuh jiwa dan raga. Mereka menunggu perlawanan bermula
dengan penuh debaran. Mereka memerhati perlawanan dengan penuh kekhusyukan,
kekhusyukan yang mengalahkan semua nilai khusyuk solatnya dalam sehari. Jika
pasukan yang disokong menang mereka melompat kegembiraan. Jika sebaliknya,
mereka tunduk kesedihan mengalirkan air mata.
Kepada para penonton seumpama perenggan di
atas, saya ingin bertanya beberapa soalan mudah. Jika anda sakit, adakah
pasukan yang anda sokong datang untuk menziarahi anda? Jika anda menghadapi
kesempitan kewangan, adakah pasukan yang anda sokong memberikan sumbangan atau
pinjaman? Jika anda gagal dalam kehidupan, adakah pasukan yang anda sokong akan
membantu anda mencapai kejayaan? Saya yakin jawapannya tidak. Oleh itu
kenapakah anda menyerahkan segala jiwa dan raga, termasuk masa anda, kepada
satu pasukan yang tidak kisah langsung tentang anda?
Ada pun menonton TV, maka tontonlah dengan
manhaj fokus dan prioriti, iaitu satu dua rancangan yang memberi manfaat kepada
pembangunan minda. Percayalah, kebanyakan pemilik syarikat siaran TV tidak
menonton apa yang disiarkan oleh syarikatnya melainkan beberapa rancangan yang
terpilih. Mereka tahu, jika mereka menonton TV saban hari, mereka tidak akan
menjadi individu berjaya yang dapat memiliki sebuah syarikat siaran TV.
Akhir sekali, makan bersama-sama rakan
dianjurkan oleh Islam kerana memiliki keberkatan di dalamnya. Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam pernah menegaskan:
فَاجْتَمِعُوا عَلَى طَعَامِكُمْ وَاذْكُرُوا
اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ يُبَارَكْ لَكُمْ فِيهِ.
Berkumpullah kalian ketika makan dan sebutlah
nama Allah padanya (Bismillahi
Rahmani Rahim), nescaya makanan kalian akan diberkati.[7] Oleh
itu makan bersama adalah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam. Akan tetapi menghabiskan masa yang lama ketika makan bersama
adalah pembaziran masa dan pembaziran adalah sunnah……
Masa tidak berhenti untuk
menunggu sesiapa. Maka janganlah membazir masa dengan melakukan perkara yang
sia-sia.
|
Langkah # 4: Di Celah-Celah Masa Ada Masa.
Sebenarnya dalam keterbatasan masa yang
dihadapi, kita boleh memiliki masa yang lebih. Berikut dikemukakan beberapa tip
untuk mencari masa di celah-celah masa:
1.
Berani berkata tidak. Apabila orang lain mengajak anda untuk
melakukan aktiviti yang sia-sia atau minimum manfaatnya, beranikan diri berkata
tidak. Tolaklah ajakan tersebut dengan sopan, umpama: “Tak mengapa silakan,
saya ada kertas kerja fakulti yang belum disiapkan.” Atau yang lebih baik: “Tak
mengapalah, saya ada kertas kerja fakulti yang belum disiapkan. Hmm!
Alang-alang anta ada masa lapang, jom kita siapkan bersama?”
2.
Gunakan kaedah temujanji (appointment). Kaedah temujanji bukan hanya untuk
orang yang sudah berjaya tetapi juga untuk orang yang ingin berjaya. Apabila
ada rakan yang ingin menziarahi anda, tetapkan waktu bermula dan berakhir.
Apabila ada mesyuarat persatuan, minta ditetapkan waktu mula dan akhir.
Kemudian jangan anda berganjak dari waktu yang dijanjikan. Kaedah ini mungkin
kurang selesa bagi rakan atau ahli-ahli persatuan anda, justeru sejak awal
berilah penjelasan yang hikmah tentangnya.
3.
Manfaatkan bas dan
tandas. Dua suasana yang lazim kita
lalui tetapi tidak sedar bahawa masa boleh dimanfaatkan di dalamnya. Ketika
dalam pengangkutan awam dan tandas, kita sebenarnya memiliki masa untuk
membaca, mengkaji dan berfikir. Maka janganlah bazirkannya dengan nyanyian dan
khayalan.
4.
Do Not Disturb. Peranan tanda Do not disturb
please bukan saja untuk digantung pada tombol pintu bilik hotel,
tetapi juga untuk digantung pada tombol pintu bilik asrama atau dileher anda.
Apabila anda sedang melakukan aktiviti yang penting, cuba elakkan faktor-faktor
yang boleh menyebabkan gangguan. Senyapkan talifon bimbit. Tutup pintu bilik
asrama. Pastikan rakan perbincangan di perpustakaan adalah mereka yang
benar-benar fokus dalam perbincangan.
Ketahuilah
bahawa satu gangguan akan merosakkan fokus anda pada kadar dua hingga tiga kali
ganda dari tempoh gangguan itu sendiri. Sebagai contoh, anda mungkin mengambil
masa 20 saat untuk membaca dan menjawab satu pesanan ringkas (SMS). Akan tetapi
anda akan mengambil masa 1 minit untuk mengembalikan fokus kepada apa yang
sedang anda lakukan sebelum itu. Kemudian, lazimnya SMS tersebut akan berbalas
semula. Oleh kerana itulah dikatakan: A minor interruption will lead to
many other interruptions.
5.
Cepat bukan jimat. Wujud satu kefahaman, bahawa sesuatu aktiviti
yang dilakukan dengan cepat akan menjimatkan masa. Sebenarnya tidak. Ia bahkan
membazir masa. Sebabnya:
a) Cepat menyebabkan anda terpaksa menggunakan
fikiran pada kadar yang tinggi. Ini menyebabkan ia cepat letih sehingga tidak
dapat melakukan aktiviti seterusnya dengan efisyen.
b) Cepat menyebabkan projek yang anda lakukan
memiliki banyak kesilapan dan kekurangan. Akhirnya anda terpaksa melakukan
semula dari awal untuk menampung kesilapan dan kekurangan tersebut demi
mencapai kualiti yang memuaskan.
c) Anda akan mudah marah dan merungut apabila
berlaku gangguan yang tidak dijangkakan. Ini kerana gangguan tersebut
mempengaruhi kadar kecepatan anda. Namun yang sebenarnya mengganggu ialah sikap
anda yang ingin cepat sehingga mudah marah dan merungut. Satu gangguan mungkin
mengambil masa 5 minit, tetapi anda akan memerlukan 15 minit untuk kembali
tenang dan lapang.
d) Anda mungkin dapat membaca buku dalam masa
yang cepat (speed reading). Akan tetapi dalam kecepatan tersebut banyak
poin penting yang anda tertinggal atau salah faham. Kemudian apabila ingin
membuat kertas kerja, anda gagal mengemukakan maklumat yang bermanfaat dan
tepat padahal semuanya sedia terkandung dalam buku-buku yang sudah anda baca
sebelum itu. Akhirnya anda terpaksa merujuk semula kepada buku-buku tersebut.
Oleh
itu cepat bukanlah jimat. Sikap yang terbaik ialah dipertengahan antara cepat
dan lambat. Sikap yang dimaksudkan ialah tenang. Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam pernah berpesan:
اَلتَّأَنِيْ مِنَ اللهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ
الشَّيْطَانِ.
Ketenangan adalah dari Allah manakala ketergesa-gesaan adalah dari
syaitan.[8]
6.
Lakukan pelaburan
masa. Pelaburan bererti
menggunakan modal yang kecil untuk memperoleh manfaat yang besar di kemudian
hari. Pelaburan bukan sahaja berkaitan dengan wang ringgit, tetapi juga masa.
Gunakan masa yang sedikit sebagai pelaburan untuk mencapai manfaat masa yang
besar di kemudian hari.
Satu
contoh mudah, saya yakin para pembaca sekalian lazim menggunakan perisian Microsoft
Word untuk menyiapkan kertas kerja kuliah dan sebagainya. Saya juga
menggunakannya untuk menulis risalah ini. Pada mulanya saya menggunakan
perisian tersebut secara terus tanpa belajar apa-apa tentangnya. “Alaah!
Microsoft Word! Siapa yang tak tahu guna?”
Akan
tetapi pada satu hari, saya mengambil keputusan untuk belajar tentangnya. Saya
membeli buku The Complete Idiot’s Guide To Microsoft Word 97 oleh
Daniel T. Babola yang diterbitkan oleh QUE Corporation, tahun 1996.
Saya
mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk mengkajinya. “Wah! Sungguh banyak
yang mampu dilakukan oleh perisian ini. Dan semua itu dapat dilakukan dengan
amat mudah.” Demikian bisik hati saya. Apa yang saya belajar dalam tiga minggu
tersebut, sepuluh tahun yang lalu, dapat saya manfaatkan hingga hari ini. Tiga
minggu tersebut merupakan satu pelaburan masa yang benar-benar menguntungkan.
Ia, alhamdulillah, membolehkah saya melakukan pelbagai kerja dengan
perisian Microsoft Word dan semuanya dapat dilakukan dengan
mudah dan kemas.
Tak
dapat bayangkan apa yang saya maksudkan? Cubalah anda melaburkan masa
membacanya. Carilah edisi yang terkini. Saya yakin kertas kerja kuliah dapat
anda siapkan dengan kemas lagi canggih dalam masa sejam berbanding tiga jam
sebelumnya.
7.
Belanjakan RM untuk
masa. Ada satu kata pepatah
Inggeris: Time is more valuable than money. Iyya! Masa lebih
bernilai dari wang ringgit. Maka gunakanlah wang ringgit untuk memperoleh masa
yang lebih. Kertas kerja kuliah anda sekali lagi saya jadikan contoh. Adakah
anda terpaksa ke makmal komputer atau cybercafe untuk
menaipnya? Banyak masa yang terbuang di sana, dari menunggu giliran sehinggalah
kepada petunjuk di skrin yang tidak bergerak searah dengan tetikus.
Sebagai
alternatif lain, cuba beli komputer riba sendiri. Anda tidak perlu
membelanjakan wang yang banyak. Memadai komputer riba terpakai dengan kelajuan
prosesan sederhana. RM1500.00 yang anda belanjakan akan dapat menjimatkan masa
anda dalam jumlah yang tidak dapat dihitung.
Menyentuh berkenaan mencari masa di celah-celah masa,
saya tidaklah bermaksud agar para pembaca sekalian menggunakan seluruh masa
yang ada untuk bekerja keras. Islam tidak menyuruh umatnya menjadi rahib yang
hanya beribadah mahu pun robot yang hanya bekerja. Sebaliknya Islam membolehkan
agar ibadah dan kerja diselang-seli dengan lawak jenaka, sembang-sembang
bersama rakan dan beristirehat. Ringkasnya, setiap sesuatu ada masanya, yang
penting hendaklah kita membahagikannya secara adil.
Salah seorang sahabat dan juru tulis Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam bernama Hanzhalah al-Usaidi radhiallahu
'anh pernah menceritakan: ‘Satu hari saya berjumpa dengan Abu Bakar
as-Shiddiq radhiallahu 'anh.” Abu Bakar bertanya: “Kamu apa khabar?”
Hanzalah menjawab: “Saya telah melakukan satu
kemunafiqan!”
“Subhanallah! Apa yang kamu cakap ni?”
“Sebentar tadi saya bersama Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam. Baginda mengingatkan kami berkenaan neraka dan syurga
sehingga seolah-olah saya dapat melihat dengan mata saya sendiri. Apabila saya
berangkat pulang dari sisi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,
saya bermain-main bersama isteri dan anak-anak serta melakukan beberapa urusan
sehingga saya lupa kebanyakan (dari apa yang dipelajari dari Rasulullah sebelum
itu).”
“Demi Allah! Saya juga pernah mengalami hal yang sama!”
ujar Abu Bakar.
Kemudian Hanzhalah dan Abu Bakar pergi berjumpa
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Hanzhalah berkata: “Wahai
Rasulullah! Saya telah menjadi seorang munafiq!”
Rasulullah bertanya: “Kenapa sedemikian?” Lalu Hanzhalah
menceritakan apa yang terjadi padanya. Lalu Rasulullah bersabda:
وَالَّذِي
نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي وَفِي
الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمْ الْمَلاَئِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ
وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً (ثَلاَثَ مَرَّاتٍ).
“Demi Allah yang jiwaku berada di Tangan-Nya,
kalau kalian sentiasa dalam keadaan seperti ketika bersamaku dan kalian
sentiasa berzikir, nescaya para malaikat akan menemani kalian di atas tempat
tidur dan juga di jalanan.
Akan tetapi wahai Hanzhalah, segala sesuatu
ada masanya.” (Baginda mengulanginya tiga kali).[9]
Tujuh Tip Mencari Masa Di Celah-Celah Masa:
1. Berani Berkata Tidak.
2. Gunakan Kaedah Temujanji.
3. Manfaatkan Bas Dan Tandas.
4. Do Not Disturb.
5. Cepat Bukan Jimat.
6. Lakukan Pelaburan Masa.
7. Belanjakan RM Untuk Masa.
|
Langkah # 5: Carilah Keberkatan Dalam Masa.
Sebelum ini saya ada menerangkan tentang
formula masa dan pergerakan jam. Memang, ia tidak dapat diubah. Akan tetapi
sebagai seorang mukmin, kita beriman kepada wujudnya sesuatu yang istimewa di
sebalik formula masa dan pergerakan jam. Perkara istimewa tersebut tidak dapat
diukur dengan apa-apa formula dan tidak dapat dilihat pada mana-mana jam.
Perkara istimewa tersebut ialah keberkatan
yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada para
hamba-Nya yang terpilih. Dengan keberkatan ini, seseorang itu mampu melakukan
banyak perkara bermanfaat untuk agama, umat, manusia dan alam sekali pun dalam
formula masa dan pergerakan jam yang tetap sama.
Bagaimanakah memperoleh atau mencari
keberkatan dalam masa? Berikut dikemukakan dua cara:
·
Memberi perhatian kepada
hal-ehwal ibubapa.
Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam bersabda:
رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ
الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ.
Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah
terletak pada kemurkaan ibubapa.[10]
Luangkanlah
masa sekurang-kurang seminggu sekali untuk menalifon ibubapa atau menulis surat
kepada mereka. Sebulan sekali, baliklah ke kampung menziarahi dan memperhatikan
hal ehwal mereka. Dalam zaman materialisme dan individualisme masa kini,
ibubapa sering diketepikan. Akan tetapi ketahuilah, keredhaan Allah terletak
pada keredhaan ibubapa kita. Jika ibubapa redha kepada kita, Allah juga akan
redha kepada kita. Apabila Allah redha kepada kita, tidak ada perkataan yang
mampu saya taip untuk menggambarkan hasilnya.[11]
·
Sedekahkan masa.
Allah Subhanahu
wa Ta'ala berfirman:
مَثَلُ
الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ
أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ
يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ.
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan
Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai;
tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan
melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas
(rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. [al-Baqarah 2:261]
Dalam
ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan pulangan
dividen harta bagi sesiapa yang sebelum itu mensedekahkan hartanya secara
ikhlas untuk kebaikan agama dan umat Islam. Secara analogi, demikianlah juga
dividen masa yang akan diperoleh oleh sesiapa yang mensedekahkan masanya secara
ikhlas demi kebaikan agama dan umat Islam. Sedekah masa yang saya maksudkan
ialah melakukan kerja-kerja sukarelawan. Kerja sukarelawan tersebut bukanlah
kerana kumpulan atau persatuan, tetapi kerana agama dan umat.
Antara
kerja sukarelawan yang saya maksudkan ialah mengajar tusyen kepada
pelajar-pelajar sekolah luar bandar, melawat hospital, melawat rumah orang tua,
melawat rumah orang kurang upaya dan memperbaiki rumah yang rosak di kawasan
kampung. Jika anda menguasai ilmu agama, lakukanlah amar ma’ruf dan nahi
mungkar.[12]Jika anda menguasai ilmu perbandingan
agama, maka jadilah seorang pendakwah. Sesiapa yang mensedekahkan masanya demi
kebaikan agama dan umat Islam, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala akan
mengurniakan kepadanya kelapangan masa untuk melakukan pelbagai lagi perkara
yang bermanfaat.
Dua perkara di atas, iaitu memperhatikan
hal-ehwal ibubapa dan melakukan aktiviti sukarelawan telah saya senaraikan
ketika mengupas langkah pengurusan masa # 1. Di sana saya senaraikan bahawa
jumlah perkara yang hendak dilakukan oleh seseorang hendaklah dikurangkan
kepada:
1.
Memberi tumpuan menuntut
ilmu agama.
2.
Memberi tumpuan kepada
jurusan yang diambil.
3.
Memberi perhatian kepada
hal-ehwal ibubapa di kampung.
4.
Menyertai hanya satu
aktiviti sukarelawan di kampus.
Apabila anda melakukan perkara ketiga dan
keempat secara ikhlas dan sebaik-baiknya, Allah Subhanahu wa
Ta'ala akan mengurniakan keberkatan dalam masa anda sehingga anda
memiliki kelapangan untuk melakukan perkara-perkara lain yang bermanfaat. Maka
setelah itu, senarai empat perkara di atas boleh anda tambah menjadi lima, enam
dan seterusnya. Akan tetapi ingat, hendaklah perkara yang anda tambah itu masuk
dalam kategori firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
(2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ
وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3).
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam
kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula
berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]
Sesiapa yang mensedekahkan masanya demi
kebaikan agama dan umat Islam, maka Allah akan mengurniakan kepadanya
kelapangan masa untuk melakukan pelbagai lagi perkara yang bermanfaat.
‘’Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu yaitu nikmat sehat dan waktu lapang." (HR Bukhari)"Belum lagi kedua kaki seorang hamba bergerak pada hari kiamat, ditanyalah tentang usianya, dihabiskan untuk apa; tentang ilmunya, digunakan untuk mengerjakan apa; tentang hartanya, diperoleh dari mana dan dibelanjakan untuk apa; tentang badannya, digerakkan untuk apa." (HR Tirmidzi). "Manfaatkanlah lima kesempatan sebelum datang kesempitan. Manfaatkan usia mudamu sebelum kamu tua, manfaatkan sehatmu sebelum sakit, gunakan kekayaanmu sebelum kamu miskin, gunakan waktu lapangmu sebelum kamu sibuk dan manfaatkan hidupmu sebelum kamu mati." (HR al-Hakim) "Laksanakan segera amal shaleh karena tujuh hal: sebelum datang kemiskinan yang membuatmu lupa, kekayaan yang menyesatkan, penyakit yang membinasakan, ketuaan yang melumpuhkan, kematian yang mendadak, dajal sebagai makhluk terjahat yang senantiasa mengintip atau datangnya kiamat yang sangat pahit dan amat mengerikan." (HR Tirmidzi).
|