Tuesday, 6 February 2018



KEPENTINGAN PENGURUSAN MASA

Masa dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya

     Jika seseorang itu bijak menguruskan masa,individu tersebut dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah.Contohnya,seorang pelajar yang cemerlang pastinya mempunyai peribadi yang luhur dan menggunakan teknik yang betul dalam mengurus masa seharian iaitu dengan tidak terjerumus dalam melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat seperti merokok,melepak bergaduh dan menagih dadah.Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja membuang masa malah memudaratkan diri serta mencemarkan nama baik keluarga,diri,masyarakat,bangsa dan agama.

  Disiplin diri yang mantap dapat dibentuk
         
    Seseorang itu dapat memupuk sifat menepati masa jika mereka mampu menguruskan masa dengan berkesan. Pembahagian masa yang tersusun juga mampu menjadikan seseorang itu patuh pada peraturan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, seseorang pelajar perlu merancang masa dengan betul apabila mereka pulang dari sekolah seperti menetapkan masa belajar, menyiapkan kerja rumah dan mengulang kaji pelajaran di samping masa untuk beriadah, menonton televisyen dan mengaji Al-Quran. Jadual yang dirancang ini dapat menjadikan pelajar tersebut  berupaya menguruskan kehidupannya dengan teratur kerana  mereka dapat melaksanakan urusan kehidupan mereka secara teratur.Mereka perlu mematuhi jadual yang telah dirancang dan menepati masa yang telah ditetapkan. Jika hal ini berlaku, seseorang itu dapat memupuk disiplin diri yang kukuh kerana mereka telah menguruskan masa dengan berkesan.

Urusan dapat disiapkan dengan lancar

    Pengurusan masa yang berkesan mampu membuatkan kita menyusun aktiviti yang ingin dilakukan dengan cara terancang. Dalam hal ini, ketepatan masa dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan mampu menghasilkan tugasan yang berkualiti. Seseorang yang bijak merancang masa dapat menyiapkan tugasan yang diberikan mengikut durasi masa yang telah ditetapkan jika mereka menguruskan masa dengan berkesan. Mereka tidak akan tergesa-gesa melakukan sesuatu pekerjaan jika pembahagian masa telah dibuat secara berjadual.

 Dapat mengelakkan diri daripada tekanan


    Pada masa yang sama, seseorang itu tidak akan berada dalam keadaan tertekan kerana proses menyiapkan tugasan yang diberikan itu telah dilakukan secara tenang, bukannya disiapkan secara tergesa-gesa apabila tempoh tamat hampir tiba. Hasilnya, tugasan yang diberikan itu akan menjadi lebih berkualiti dan dapat diserahkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
PEMBAHAGIAN MASA MENGIKUT KAEDAH KUADRAN

Islam hanya pada soal prinsipnya,manakala soal pendekatan(kaedah) itu terpulang kepada kreativiti dan inovasi akal.

Islam sebenarnya cukup terbuka.Apa sahaja yang baik diterima.Kalau perkara itu baik , Islam akan terima,tidak kira dari Timur atau Barat dengan syarat ia tidak bertentangan dengan syariat.Jadi,kalau pakar-pakar psikologi dan motivasi telah merangka satu kaedah yang praktikal untuk menguruskan masa,maka kita wajar menggunakannya.

Umumnya , para pakar menggunakan "kaedah kuadran" dalam pengurusan masa.Mereka membahagikan pengurusan masa kepada empat kuadran iaitu :

1) PENTING DAN SEGERA
2) PENTING TETAPI TIDAK SEGERA
3)TIDAK PENTING TETAPI SEGERA
4)TIDAK PENTING DAN TIDAK SEGERA

Kaedah ini boleh diaplikasi dan kita selarikan dalam menentukan apa yang penting dan apa yang segera dalam hidup kita . Mungkin suatu perkara yang penting bagi seorang islam yang taat,ianya berbeza dengan perkara penting bagi mereka yang tidak taat(walaupun kaedah yang digunakan adalah sama).

Contohnya,bertaubat,itu perkara yang penting dan segera bagi kita.Tetapi bagi sesetengah orang taubat itu tidak penting dan tidak segera.Jadi,kaedah sama tetapi pengertian dan nilainya sahaja yang berbeza.

4 KUADRAN PEMBAHAGIAN MASA




1) PENTING DAN SEGERA

Ini adalah tugas yang mesti dilaksanakan pada masa itu juga atau pada jangka waktu yang terdekat.Contohnya,ketua pejabat meminta kita menyerahkan kerja pada pukul 10 pagi esok atau pensyarah meminta kita menyerahkan tugasan jam 2 petang nanti.Selalunya,kita dapat melaksanakan tugas dalam kategori ini dengan tepat.Kita mampu melaksanakannya dengan baik kerana didorong oleh kesegeraan dan kepentingannya.Jadi masalah pengurusan masa kita selalunya tidak berlaku di sini.




2) PENTING TETAPI TIDAK SEGERA

Perhatian dan kejayaan melaksanakan tugas dalam kategori kedua inilah yang membezakan antara individu yang berkesan dan yang tidak berkesan.Ya,kebanyakan perkara-perkara penting dalam kehidupan kita ini tidak termasuk dalam kategori "segera".

Kerja atau tugas dalam kategori ini berada di tahap sama ada boleh dilakukan sekarang atau ditangguhkan pada satu waktu kemudian.Dan dalam banyak keadaan,selalunya perkara-perkara penting ini ditangguhkan terus(dan tidak pernah dilaksanakan langsung!).Itulah perkara-perkara yang tidak selalu berada di sekeliling kita.

Contoh perkara-perkara dalam kategori ini ialah menghadiri program pengajian untuk menghayati solat,puasa dan akhlak kita,kursus yang perlu dihadiri untuk mempertingkatkan kemahiran profesional,projek-projek baru yang perlu dikemukakan kepada bos kita,diet atau senaman yang perlu dimulakan,penyimpanan wang untuk mengerjakan haji dan lain-lain.

Walaupun semua perkara di atas sangat penting dan mesti dilaksanakan segera,dan jika kita gagal melaksanakannya bererti ibadah,kesihatan,kewangan,kerjaya dan kebajikan keluarga kita akan terjejas tetapi di situlah selalunya terjadi penangguhan.

Melaksanakan tugas dalam kategori inilah perlukan ketegasan. Dan selagi aktiviti hidup kita berpusat (atau terikat) dengan keutamaan-keutamaan orang lain atau pada sistem kerja yang meletakkan "kesegeraan" pada perkara lain,maka selamanya kita tidak akan dapat mengatur dan melaksanakan kerja mengikut keutamaan.

Tindakan yang mesti dibuat ialah "menyegerakan" perkara yang tidak segera ini kerana kepentingannya.Mungkin ini akan menyibukkan kita,tetapi kesibukan itu akan menambah keberkesanan kita.Ia akan mengelakkan "pengangguran" masa.Inilah juga yang akan mendisiplinkan kita.




3) SEGERA TETAPI TIDAK PENTING

Perkara atau kerja dalam kategori ini selalunya menuntut tindakan yang segera tetapi jika diteliti secara objektif perkara ini sebenarnya kurang utama .Contohnya,kita diajak untuk menghadiri satu pertemuan,diminta berceramah secara tiba-tiba atau seseorang mengajak kita menemaninya membeli-belah.Kita mungkin telah menyedari bahawa perkara ini sepatutnya kurang diberi keutamaan,tetapi seseorang sedang menanti di hadapan meja kita atau di hujung talian telefon untuk mendapat jawapan.Akhirnya kita bersetuju juga kerana kita tidak "mampu"mencari alasan yang baik dan manis untuk menolaknya.






4)TIDAK SEGERA DAN TIDAK PENTING

Kerja atau aktiviti di kuadran ini lebih tepat dinamakan kerja "menyibuk" atau pingguran.Banyak perkara atau tugas pinggiran yang dilihat ada manfaatnya jika dilakukan tetapi sebenarnya ia tidak penting dan tidak segera.Kedudukannya,perkara ini tidaklah penting dan tidaklah segera.Tetapi ia kelihatan OK.

Malangnya,kita sering melakukannya lebih dahulu daripada perkara-perkara yang lebih penting dan utama kerana sifatnya yang diversionary , yakni memberi kita perasaan yang kita sedang aktif(sibuk) dan rasa telah memenuhi tugas sekali gus memberi kita alasan untuk menangguhkan pelaksanaan perkara-perkara dalam kategori ke-2(penting tetapi tidak segera).

Contohnya,kita datang ke pejabatnya pada hari Sabtu untuk melakukan kerja-kerja yang ditangguhkan sebelum itu. Tetapi kemudiannya kita terangsang untuk menguruskan bahan-bahan yang agak tidak tersusun di atas meja.Sambil melakukan pekerjaan itu,dia merasakan ada juga baiknya ia meluruskan laci-laci mejanya. Akhirnya , dia menghabiskan  seluruh waktu pagi hari itu dengan mengatur laci dan fail . 

Dalam hati kita mungkin rasa bersalah dan tidak puas hati kerana tidak berjaya melaksanakan kerja.



Setiap manusia di muka bumi ini dikurniakan tempoh waktu yang sama dalam sehari iaitu 24 jam atau 1440 minit atau 86400 saat.Namun begitu,mengapakah masih terdapat pelbagai jawapan yang diberikan sekiranya diajukan soalan “cukup kah 24 jam sehari ?” Sebenarnya,segalanya bergantung kepada bagaimana seseorang itu menguruskan masa dalam kehidupan seharian.

OBJEKTIF PENGURUSAN MASA

  1.  MENYATAKAN DEFINISI PENGURUSAN MASA
  2.  MENGHURAIKAN TIPS ATAU PANDUAN PENGURUSAN MASA YANG BAIK
  3.  MENJELASKAN KEPENTINGAN PENGURUSAN MASA
  4.  MENERANGKAN DALIL-DALIL PENGURUSAN MASA
  5. MENYATAKAN KEBURUKKAN-KEBURUKKAN AKIBAT TIADA PENGURUSAN MASA






Ada manusia yang berkata "tak cukup masa"
Ada manusia yang berkata "cukup masa "

Ada juga manusia yang berkata "terlebih masa"


Kita sering merasa terburu-buru mengejar masa kerana perlukan masa yang banyak bagi melakukan aktiviti harian. Ini akan menyebabkan kerja yang kita lakukan menjadi kelam kabut. Tahukah anda, kekayaan masa iaitu mempunyai masa yang cukup untuk melakukan apa yang kita suka adalah satu nikmat yang tak terhingga?
ANTARA PANDUAN PENGURUSAN MASA YANG BAIK IALAH :

1. RANCANG JADUAL HARIAN
Rancang jadual aktiviti harian adalah penting kerana kehidupan kita menuntut kita meluangkan masa untuk bersama diri sendiri, keluarga dan juga untuk Allah Swt. Pengurusan masa adalah pengurusan kehidupan harian kita. Berjaya mengurus masa bermakna kita berjaya menguruskan hidup kita.
Anda boleh mulakan hari anda dengan melakukan kerja-kerja yang paling penting di awal pagi. Anda juga boleh rancang jadual anda pada hari atau minggu sebelumnya.
Contohnya,pukul berapa biasanya anda bangun tidur? Berapa lama anda bersiap untuk ke sekolah? Pukul berapa anda pergi ke sekolah? Pukul berapa anda pulang ke rumah dari sekolah? Berapa lama masa diambil untuk menyiapkan kerja sekolah dan kerja rumah?
Daripada jadual di atas, anda boleh menentukan berapa banyak masa lapang yang anda ada dan menyusun jadual masa supaya semua aktiviti dapat disempurnakan pada hari yang sama.

2. TETAPKAN HAD MASA UNTUK SETIAP TUGAS
Jangan lakukan sesuatu tugas lain sebelum menyelesaikan tugas yang kita sedang lakukan. Sentiasa periksa jadual sebelum memulakan tugas yang baru. Sentiasa tanya diri sendiri, bilakah tugas yang sedang dilakukan itu boleh selesai? Bilakah ianya perlu diselesaikan.  Adalah lebih bagus untuk menyiapkan tugasan lebih awal supaya anda ada lebih masa untuk memeriksa tugasan anda.  Ini akan memastikan tugas yang sedang dibuat akan mencapai matlamat yang berkualiti. Ini juga akan membantu kita untuk lebih fokus dalam menyiapkan tugasan yang kita perlu lakukan.
3. TAHU DEADLINE ANDA

Bukan mudah bagi kita untuk merancang kerja yang perlu dilakukan. Set tarikh akhir (deadline) untuk menyelesaikan kerja kerana ini akan mengurangkan rasa risau kerana merasa tidak mencukupi masa.  Melakukan tugasan tanpa tahu tarikh akhirnya seperti anda tidak tahu arah tuju atau kesudahan tugasan tersebut.  Ini menyebabkan anda akan mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya.

4. BELAJAR UNTUK BERKATA “TIDAK”

Daripada semua tips penggunaan masa dengan baik, barangkali yang paling efektif ialah selalu menggunakan perkataan tidak. Belajarlah menolak dengan menggunakan kebijaksanaan tetapi tegas terhadap setiap permintaan yang tidak menunjang pencapaian sasaran anda.  Kadang-kadang, bila kita berani mengatakan tidak kepada ajakkan kawan-kawan, atau kepada perkara-perkara yang tidak memberikan kesan besar kepada kita, kita boleh gunakan masa tersebut untuk perkara yang lebih memberikan kebaikan kepada kita.

5. TEKNIK 15 MINIT LEBIH AWAL

Dalam zaman sekarang, sangat mudah untuk kita mengawal masa.  Kita boleh gunakan telefon bimbit sebagai penjaga masa kita.  Dalam telefon bimbit, kita boleh setkan ‘reminder’ untuk memberi peringatan kepada kita tentang jadual dan waktu yang tepat.  Ada orang menggunakan kaedah menetapkan waktu jam 15 minit lebih awal dari waktu sebenarnya supaya kita lebih berdisiplin dan mengelakkan dari terlambat.

6. FOKUS

Kita akan memberi lebih tumpuan dalam melakukan kerja sekiranya kita fokus kepada sesuatu kerja. Buat sesuatu kerja dengan memastikan kerja tersebut merupakan perkara yang utama perlu diselesaikan. Untuk membantu anda fokus, anda boleh kurangkan gangguan di sekitar anda.  Anda boleh ‘silent’ kan telefon bimbit, matikan notifikasi media sosial anda, jauhkan diri dari televisyen, YouTube dan lain-lain yang boleh mengalih perhatian anda dari terus fokus.

7. JEJAKI MASA YANG DIHABISKAN

Lihat kembali pencapaian masa yang telah kita gunakan dalam sesuatu kerja.  Gunakan teknik ini dengan memperkembangkan lagi fokus dalam matlamat yang perlu kita capai.  Ramai antara kita tak pernah “keep track” berapa banyak masa yang kita gunakan untuk selesaikan sesuatu perkara. Sebagai contoh, cuba jejaki berapa banyak masa untuk anda siapkan satu tugasan yang biasa anda lakukan dan cuba lakukannya lebih cepat keesokkan hari.  Anda akan mula perasan anda ada lebihan masa nanti.

8 . TIDAK KECOH DENGAN PERKARA - PERKARA TIDAK PENTING

Ramai antara kita selalu menyalahgunakan masa dengan kecoh dengan perkara-perkara yang tak ada kena mengena dengan kita.  Contoh jelas, jika berlaku kemalangan di lebuh raya, ramai pemandu akan berhenti semata-mata untuk tengok.  Ini akan menyebabkan anda lambat sampai ke lokasi dan juga melambatkan orang lain.  Jangan  kecoh dan kepoh dengan perkara-perakara yang tidak membawa kebaikan.

9. JANGAN LUPA UNTUK BEREHAT

Bekerja dalam tempoh yang lama tanpa rehat bukanlah penggunaan waktu yang efektif. Tenaga makin menurun, kebosanan makin mempengaruhi serta ketegangan fizikal dan mental makin terkumpul. Oleh itu, anda memerlukan masa rehat yang secukupnya kerana hanya berehat sahaja merupakan cara yang paling baik.  Tidur sebentar juga boleh membantu kita menjadi lebih efektif, Rasulullah juga mengamalkannya.  Tapi jangan jadikan ini sebagai alasan untuk lari dari tugasan!

10 . GUNAKAN DIARI

Diari atau jadual waktu dapat membantu anda melakukan tugasan dan mencapai matlamat yang ditetapkan. Ia juga turut membantu anda untuk merancang aktiviti harian berdasarkan apa yang mesti dibereskan. Secara langsung, ia membantu anda untuk menggunakan masa yang terluang untuk menyiapkan tugasan atau aktiviti yang ingin dilakukan.

11. JANGAN MUDAH TERPEDAYA

Masa bergerak sangat pantas.  Kadang-kadang tanpa kita sedar, hari dah menjelang petang sedangkan banyak lagi perkara yang kita tak lakukan.  Ramai orang mudah terpedaya dengan masa dan mula menggunakan masa sebagai alasan.  “Releks la, baru pukul 9 pagi.”  “Kenapa nak cepat-cepat, ini kan waktu rehat”. Dengan asyik melengah-lengahkan masa dan membiarkan diri terpedaya dengan masa yang ada, kita akan kehilangan masa tersebut.
Orang berjaya dalam hidup sangat menghargai masa.  Tujuan mereka kaya dan berjaya ialah supaya mereka ada lebih banyak masa untuk diluangkan dengan Allah swt, dengan diri sendiri dan keluarga. Anda bagaimana?

P E N G E N A L A N JABATAN : JABATAN PERDAGANGAN SESI : DISEMBER 2017 NAMA KURSUS : PENGURUSAN DALAM ISLAM NAMA PENSYARAH :...